Orang Melayu pertahan hak sendiri bukan zalim

215

20 JULAI: Tindakan orang Melayu mempertahankan hak dan keistimewaan mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dianggap sebagai satu kezaliman.

Ahli Parlimen BN Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tidak sepatutnya timbul persoalan terhadap mana-mana orang Melayu yang berbuat demikian.

“Orang yang mengambil haknya mengapa pula dianggap zalim? Kecuali dia mengambil hak orang lain, itu yang dikatakan zalim,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberi reaksi terhadap celahan Ahli Parlimen Bebas Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang meminta pandangan tentang tanggungjawab besar pemimpin-pemimpin Melayu untuk tidak berlaku zalim dan terlibat dalam rasuah.

Pada masa yang sama, Tajuddin menambah, hak-hak bangsa lain juga turut dipertahankan kerana mereka juga rakyat di negara ini.

Terdahulu, beliau berharap semua pihak di negara ini menerima hakikat bahawa negara ini adalah tanah Melayu.

Tajuddin memberitahu, tidak perlu dipersoalkan lagi hak-hak keistimewaan orang Melayu dalam aspek agama, budaya, pendidikan dan ekonomi.

“Saya harap pihak kerajaan dan bukan kerajaan menerima hakikat ini dan tidak mengabaikan bahawa orang Melayu merupakan pribumi yang mempunyai hak-haknya dan keistimewaan tertentu yang mesti dipertahankan oleh kerajaan,” jelasnya.

Beliau menambah, perkara itu bukan bermakna hak kaum bukan Melayu boleh diabaikan begitu sahaja.

Tajuddin berkata, mereka juga berhak mengamalkan agama dan budaya masing-masing serta mendapatkan peluang untuk pendidikan dan berniaga. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.