Mahdzir ulangi penafian terima gaji RM1 juta

96

20 JULAI: Ahli Parlimen BN Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid sekali lagi menafikan dakwaan kononnya beliau menerima gaji melebihi RM1 juta sebulan sebagai Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau menjawab dakwaan yang dibangkitkan oleh seorang Ahli Parlimen mengenai isu gaji dan elaun Pengerusi TNB dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat pagi tadi.

“Jadi saya ingin menafikan dakwaan bahawa gaji dan elaun bakal diterima saya selaku Pengerusi TNB adalah melebihi RM1 juta sebulan.

“Kalau gaji saya melebihi RM1 juta sebulan maka kita semua tidak perlu buat kerja lain,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Mahdzir memuji kesungguhan dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani COVID-19 dengan baik.

Beliau berkata, langkah diambil Muhyiddin, anggota-anggota Kabinet dan Kementerian Kesihatan berjaya menangani pandemik COVID-19 selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Kejayaan dicapai kerajaan adalah manifestasi daripada kesungguhan anggota pentadbiran, petugas barisan hadapan dan keselamatan menjalankan tugas menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

“Salah satu ukuran penting kejayaan itu adalah bagaimana kerajaan dapat membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup… menjadikan kerajaan sebagai moderator dan pemudah cara kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir juga meminta kerajaan Persekutuan mengembalikan semula pemberian bantuan khas kepada golongan petani, nelayan dan penternak yang terjejas teruk akibat COVID-19, sejak Mac lalu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.