COVID-19 catat 21 kes baru, tambah satu lagi kluster

50

20 JULAI: Suka atau tidak, normal baharu bukan pilihan tetapi kemestian kerana COVID-19 masih ancaman dengan 21 lagi kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Berikutan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini mencecah 122 sekali gus menimbulkan persoalan apakah rakyat Malaysia tidak mengambil iktibar daripada peningkatan kes di negara lain.

Lebih membimbangkan, kes jangkitan tempatan sahaja berjumlah 15 kes dan ini satu amaran kepada semua untuk tidak leka kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang kini semakin diabaikan rakyat negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 15 kes penularan di dalam negara, 13 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dengan 12 daripadanya daripada satu kluster baru, kluster rumah warga emas Kluang.

Katanya, satu lagi kes rakyat tempatan adalah kes saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Menurut beliau, dua kes bukan warganegara pula turut melibatkan satu kes di kluster rumah warga emas Kluang dan satu kes lagi saringan pra pembedahan, juga di Johor.

“Sehingga kini, hanya tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, satu kluster baharu telah dikesan di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor dengan kes pertama kluster ini merupakan kes kematian COVID-19 yang telah dilaporkan pada 19 Julai 2020 iaitu kes ke-8770.

Susulan itu, katanyam siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan dan sehingga 20 Julai 2020 jam 12 tengah hari, 39 orang telah disaring.

“Mereka terdiri daripada 14 kes positif COVID-19; 18 adalah negatif; dan tujuh masih menunggu keputusan.

“Daripada jumlah kes positif ini, 13 kes adalah warganegara Malaysia dan satu warga Indonesia. Kes positif kluster ini melibatkan 11 warga emas (iaitu penghuni rumah jagaan tersebut), satu pekerja dan satu ahli keluarga.

“Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan telah dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan tersebut. Punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham terus mengingatkan rakyat Malaysia supaya jangka sesekali leka dan kekal waspada dengan memastikan saranan kesihatan diikuti setiap masa.

Ini katanya, seperti mengamalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, tidak berjabat tangan dan mengelakkan tempat sesak. -M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.