“Biarlah nak kata berleter pun” – Muhyiddin

1,004

20 JULAI: “Biarlah nak kata berleter pun,” tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin merujuk kepada tanggungjawab semua terutama ibu bapa dalam mengingatkan anggota keluarga supaya mengamalkan norma baharu ketika mana kes baharu COVID-19 kembali mencatat dua angka kebelakangan ini.

Jelas Perdana Menteri, memakai pelitup muka, penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan lain termasuk mengelakkan berjabat tangan adalah kemestian kerana pandemik COVID-19 masih satu ancaman sama ada di peringkat global mahu pun di negara ini.

Sehubungan itu katanya, ingatlah seperti mana yang telah ditegaskan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners.

Justeru kata beliau, ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa nasihat-menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain.

“Ibu bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka supaya jaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain- lain.

“Ingatkan mereka setiap hari. Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana ini amat penting. Ini kerana kita semua sayangkan keluarga kita,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri hari ini.

Tambah Muhyiddin, di tempat kerja juga majikan mesti sentiasa ingatkan pekerja supaya mematuhi SOP yang ditetapkan dan sentiasalah pantau para pekerja dengan meletakkan notis atau peringatan mengenai SOP yang perlu dipatuhi di tempat yang mudah dilihat.

Katanya, di sekolah, pengetua, guru besar, guru-guru, pengawas dan ketua kelas pula perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dengan mengingatkan murid-murid dan rakan-rakan supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan patuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Saya juga nak mengingatkan Ketua-Ketua Kampung, Imam-Imam dan Ketua Komuniti supaya jaga komuniti masing-masing. Ketua Kampung bersama ahli-ahli jawatankuasa kampung misalnya boleh buat lawatan atau rondaan ke tempat-tempat yang sering dikunjungi oleh penduduk kampung masing-masing.

“Sama ada di kedai kopi, restoran, pasar pagi atau kedai-kedai menjual barangan keperluan harian. Nasihati mereka supaya memakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial.

“Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kita akan dapat melalui fasa PKPP ini dengan jayanya,” jelasnya.

Sementara itu, menyedari perutusan tersebut ditunggu-tunggu rakyat memandangkan peningkatan semula kes baru COVID-19 kepada dua digit sejak beberapa hari lalu, Muhyiddin menarik perhatian dengan bertanya khabar dan berkata:

“Sudah agak lama saya tidak muncul di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memberikan maklumat dan pesanan mengenai situasi terkini COVID-19 di negara kita.”

Sebelum memasuki bahagian lebih serius, Perdana Menteri mengambil peluang berkongsi hasil kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini menyaksikan tiada lagi sekatan pergerakan dengan ramai mengambil peluang bercuti dan pulang ke kampung seterusnya aktiviti ekonomi kembali rancak walau dengan normal baharu.

“Ini satu petanda yang baik. Sektor-sektor ekonomi di negara kita yang terjejas akibat COVID-19 sudah mula rancak dan insya-Allah sekiranya trend ini berterusan, ekonomi negara kita dapat pulih dengan lebih cepat,” katanya.

Namun, Perdana Menteri mengingatkan rakyat Malaysia yang pandemik ini belum berkakhir dan beliau sendiri memantau secara dekat dengan beberapa perkembangan seperti pertambahan kluster baru serta kes baharu yang kembali mencatatkan dua angka adalah sangat membimbangkan.

Sedangkan katanya, seperti disebutkan sebelum ini, kejayaan memerangi COVID-19 dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada diri sendiri dengan sikap, kesedaran dan amalan adalah penting.

“Amalan kebiasaan baharu atau new normal mesti kita teruskan. Jangan kerana kes-kes COVID-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakai lah. Jangan tak pakai.

“Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurangkurangnya satu meter dari orang lain. Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan.

“Saya selalu berpesan supaya saudara-saudari semua elakkan berjabat tangan. Saya tengok sekarang dah ada yang bukan sahaja berjabat tangan, malah berpeluk ketika berjumpa sahabat-handai dan sanak-saudara,” tegasnya. –M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.