Projek LRT 3 dijangka siap Februari 2024

73

19 JULAI: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan kerja-kerja pembinaan projek transit aliran ringan 3 (LRT3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, projek dengan jajaran sejauh 37.8 kilometer itu, menghubungkan penumpang dari koridor barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur, sudah mencapai 33.12 peratus keseluruhan projek sehingga 30 Jun lalu.

Beliau berkata, projek LRT3 bakal memberi manfaat kepada lebih 2 juta penduduk di kawasan berkenaan dan akan mengendalikan kira-kira 67,000 penumpang sehari pada peringkat permulaan, sebelum sistem rel urban ‘Greater Klang Valley’ siap sepenuhnya nanti.

“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur–Klang sekarang, penyambungan jajaran LRT3, yang berintegrasi dengan laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie, turut menjadi sandaran sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi,” katanya pada Majlis Pelancaran U-Girder Projek LRT3 dan Majlis Makan Malam Pengerusi Prasarana bersama media, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Muhammad Nizam Alias dan Pengerusi MRCB George Kent Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, projek LRT3 buat pertama kali menggunakan blok ‘U-trough girder’ iaitu, komponen pembinaan akan diprabina terlebih dahulu, di sebuah fasiliti di Bandar Saujana Putra sebelum dibawa ke tapak pelancaran.

Tambah beliau, kaedah pembinaan itu dipilih kerana kos yang lebih efisien, tempoh kerja pembinaan yang lebih cepat, selain improvisasi terhadap impak visual.

“Secara keseluruhan, projek ini akan menggunakan sebanyak 2,060 unit ‘U-trough girder’ bagi melengkapkan jajaran berkenaan. Setakat ini, 158 unit sudah dibina dengan 24 unit telah dilancarkan dan dipasang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.