PDRM siasat pengeluar kasut hina Jata Negara

55

19 JULAI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan ke atas sebuah syarikat yang dikatakan mencetak logo Jata Negara pada bahagian dalam kasut keluarannya.

Menurut beliau, polis sedang menjalankan siasatan rapi berhubung kes terbabit.

“Perkara ini sedang disiasat polis,” katanya dalam jawapan menerusi pesanan WhatsApp hari ini ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi PN BBC Portal mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan kes terbabit semalam.

Beliau berkata, siasatan kes berkenaan akan dijalankan mengikut beberapa akta termasuk Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Kita juga sudah mengarahkan pegawai penyiasat untuk menghubungi syarikat berkenaan untuk dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Walaupun pihak syarikat berkenaan sudah memohon maaf namun polis tetap membuka kertas siasatan kerana perbuatan berkenaan adalah satu kesalahan serius,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, menegaskan tindakan tetap perlu diambil terhadap syarikat kasut yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya walaupun sudah membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap kesilapan itu.

Saifuddin berkata tindakan tegas perlu diambil kerana lambang kebesaran negara termasuk Jata Negara mesti dihormati, selain kejadian itu adalah yang kedua selepas kejadian hina Jata Negara dalam penerbitan sebuah buku, baru-baru ini.

“Bila buat silap, ia mesti disiasat dan kalau bersalah mesti dihukum dengan setimpal. Jika tidak, mudah sangat untuk membuat silap dan kemudian minta maaf.

“Kes (hina Jata Negara dalam) penerbitan buku juga difahamkan masih dalam siasatan pihak berkuasa …yang ini pun saya akan lihat dan majukan (kepada pihak berkaitan) supaya tindakan tegas diambil,” katanya selepas meninjau Kursus Pembuatan Biskut oleh Ibu Tunggal Parlimen Indera Mahkota di Gerai KRT Cenderawasih di sini, semalam.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota diminta mengulas gambar di bahagian dalam kasut yang mengandungi Jata Negara dan surat permohonan maaf bertarikh 17 Julai daripada syarikat terbabit, yang tular dalam laman sosial. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.