Najib bangga Tun M iktiraf gelaran ‘Bossku’

80

19 JULAI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbangga kerana ‘musuh ketatnya’ iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengiktiraf gelaran ‘Bossku’ yang diberikan oleh penyokong-penyokongnya.

Dr Mahathir menyebut perkataan tersebut ketika berucap dalam program anjuran bekas-bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sebuah hotel di Kedah, semalam.

“Program ‘Bersatu Blackout’ mencipta sejarah baru apabila Tun M memanggil Datuk Seri Najib Razak sebagai Bossku.

“Mengikut hitungan oleh audien yang mengikuti siaran langsung di facebook sekurang-kurangnya 15 kali Tun Mahathir menyebut nama Najib Razak dan sekali mengakui Najib sebagai Bossku,” kata Najib melalui hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Bekas Presiden UMNO memberitahu program ‘anak beranak’ yang turut disertai oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu diadakan semata-mata untuk menghentam dirinya.

“Skrip ucapan yang boleh diramalkan daripada Mahathir, beliau tetap menyatakan segala masalah kejatuhan Pakatan Harapan (PH) sehingga keluarnya Bersatu dari PH terletak di tangan Najib Razak.

“Begitu trauma Mahathir dengan anak Tun Razak sehinggakan semua keputusan dalam Bersatu ditentukan Najib,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.