Muhyiddin tidak pernah kata iktiraf UEC

58

19 JULAI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak pernah menyatakan kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika mengadakan pertemuan dengan pimpinan Hua Zhong pada 16 Julai lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media hari ini berkata, Perdana Menteri menyebut bahawa UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian apabila kerajaan masa lalu telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Kerajaan pada tahun 2012 telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang Bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperoleh sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu.

“Perdana Menteri juga menegaskan agar UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Hua Zhong mendakwa Muhyiddin secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf UEC.

Menurut pertubuhan itu, Muhyiddin menyatakan harapan itu ketika mereka mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen baru-baru ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.