Lelaki Malaysia mangsa terbaharu mati akibat COVID-19

26

19 JULAI: Setelah seminggu tiada kematian akibat COVID-19, seorang rakyat Malaysia menjadi mangsa ke-123 yang meninggal dunia kerana dijangkiti wabak tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berumur 72 tahun itu meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Menurut beliau, lelaki tersebut mempunyai penyakit darah tinggi yang kronik dan penyakit strok serta mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai lalu.

“Beliau yang merupakan penghuni pusat jagaan warga emas di Johor telah pun dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Johor sebelum disahkan meninggal dunia setibanya di wad kecemasan pada 17 Julai lalu,” katanya.

Kematian terakhir akibat COVID-19 di negara ini direkodkan berlaku pada 11 Julai lalu, melibatkan seorang rakyat Malaysia berumur 72 tahun.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak 15 kes baharu positif COVID-19 direkodkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,779 kes dengan 103 kes aktif kebolehjangkitan.

Beliau berkata, empat daripada 15 kes tersebut adalah kes import manakala bakinya kes penularan tempatan.

“Bagi kes import, dua di Selangor melibatkan bukan warganegara Malaysia manakala yang melibatkan warganegara merupakan satu kes rakyat Malaysia pulang dari Lybia dan seorang lagi merupakan kapten kapal dari India yang baharu berlabuh di pelabuhan Klang.

“Kedua-dua mereka kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menambah, tujuh kes pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang bebas daripada jangkitan COVID-19 adalah 8,553 kes.

Selain itu, katanya, dua kes positif COVID-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala satu lagi kes memerlukan bantuan pernafasan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.