Lebih 21,000 individu disaring di KLIA

25

19 JULAI: Kementerian Kesihatan telah melakukan saringan kesihatan terhadap 21,014 individu di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 10 Jun hingga semalam bagi mengurangkan risiko penularan kes import COVID-19 dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Daripada jumlah itu, 20,937 individu yang disaring disahkan negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala seramai 77 individu lagi yang dikesan positif sudah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau gembira kerana hasil pemantauan polis mendapati semua 1,433 individu didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin sendiri di rumah.

“Pada masa sama, seramai 934 rakyat Malaysia yang baru pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari Jepun, Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Australia, Turki, Korea Selatan, India, Bangladesh dan Iran sudah menjalani ujian saringan COVID-19, semalam.

“Daripada jumlah itu seramai 933 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala seorang individu telah dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 11 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 15 penguat kuasa.

Katanya, daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati empat tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan manakala tujuh tapak binaan lagi tidak beroperasi.

“Dari 20 April sehingga 18 Julai 2020, jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP adalah 3,219 tapak binaan manakala 541 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran.

“Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.