Harga runcit ayam mula turun

53

19 JULAI: Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha hujung bulan ini, orang ramai boleh menarik nafas lega kerana harga runcit ayam standard di pasar besar dan pasar raya mula menunjukkan penurunan sepanjang tempoh 1 hingga 17 Julai lalu.

Pengara Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, trend itu adalah selari dengan penurunan harga ladang ayam hidup, yang menunjukkan penurunan harga pada minggu kedua Julai antara RM4.50/kg hingga RM5.40/kg, daripada minggu pertama iaitu RM5.20/kg hingga RM6.10/kg.

“Harga ayam standard pada Julai 2020 adalah antara RM8.00/kg hingga RM8.50/kg dan telah menurun pada minggu kedua dengan harga RM7.60/kg hingga RM7.90/kg,” katanya dalam kenyataan media, hari ini,

Beliau menambah, KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga ayam semasa di pasaran, supaya pengguna dapat membeli ayam pada harga yang berpatutan.

Iskandar Halim memberitahu, KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan kenaikan harga ayam, ekoran aduan yang diterima daripada orang ramai pada 15 Jun lalu.

Menurut beliau, pemantauan dilaksanakan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan harga ayam, serta mengesan sekiranya wujud aktiviti pencatutan.

Iskandar Halim berkata, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga-peniaga ayam yang disyaki melakukan kesalahan mencatut dalam pemeriksaan yang dilaksanakan dalam tempoh 17 Jun hingga 30 Jun lalu.

“Semua kertas siasatan tersebut sedang dalam siasatan lanjut untuk melengkapkan dokumen pembuktian, sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP,” jelasnya.

Beliau menyatakan, lapan kes tersebut melibatkan empat peruncit di pasar awam Melaka dan empat pemborong ayam, iaitu satu di Melaka dan tiga lagi di Kuala Lumpur manakala semua kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 14(1) AKHAP.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.