Bangi, Kajang, KL dilanda banjir

222

19 JULAI: Beberapa lokasi di sekitar Bangi dan Kajang, Selangor dilanda banjir ekoran hujan lebat malam tadi.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh para netizen dalam Facebook, antara kawasan yang terjejas adalah Sungai Sekamat, Sungai Ramal Luar, Sungai Balak, Jalan Reko, Taman Pasir Mas Sungai Chua dan Taman Muhibbah.

Air dilihat naik paras beberapa meter sehingga menenggelamkan sejumlah premis dan kenderaan.

Sementara itu, beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat selain kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan dilanda banjir kilat adalah di hadapan Masjid Ububiah, Jalan Segambut Dalam melibatkan air naik setinggi satu kaki.

Turut dilaporkan lima kejadian pokok tumbang di hadapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Taman Pusat Kepong, Taman Tun Dr Ismail, Taman Sri Rampai dan Sungai Penchala.

Kejadian pokok tumbang itu turut menyebabkan tiga kenderaan dan bahagian dapur sebuah rumah rosak.

Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, sebanyak 41 kawasan di lima daerah di Selangor dilanda banjir sehingga menyebabkan 265 penduduk daripada 62 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kediaman mereka dinaiki air sejak lewat petang semalam.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan tertinggi dilanda banjir membabitkan 22 kampung dan taman perumahan serta sekolah, diikuti Sepang dengan 12 lokasi, Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan Klang (satu).

Menurut beliau, tujuh PPS juga dibuka bagi menampung mangsa yang dipindahkan.

Sebanyak 22 lokasi di Hulu Langat dilanda banjir iaitu Kampung Sungai Pening, Semenyih, Kampung Bukit Dukong, Kampung Sungai Sekamat, Kampung Batu 13, Kampung Sungai Balak, Kampung Sri Jambu, Kampung Sungai Jernih, Batu 10 Cheras, Sungai Raya Batu 9, Kampung Bangi, Taman Muhibbah, Kampung Sungai Kantan, Kampung Batu 14, Kampung Sungai Ramal, Jalan Reko, Kawasan Medan Satay Kajang, Taman Taming Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) Kajang, Sri Bangi Seksyen 8, Teras Jernang, Kampung Sungai Serai dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Serai.

Lokasi di Sepang pula membabitkan Taman Desa Jenderam Hilir, Jalan Salam Sungai Merab, Rancangan Revolusi Hijau Dengkil, Taman Baiduri Dengkil, Kampung Orang Asli Jenderam Hulu, Taman Lestari Mewah, Kampung Lalang, Kampung Cemperai, Kampung Sri Tanjong, Taman Mas, Taman Kristal dan Taman Permata.

Empat lokasi di Hulu Selangor yang dinaiki air adalah di Kampung Sentosa Batang Kali, Taman Seri Cahaya Batang Kali, Taman Seri Batang Kali dan Lorong 4B Taman Lembah Damai, Kerling.

Dua lokasi di Gombak adalah di Lorong E5, Kampung Melayu, Sri Kundang dan Fasa 4, Taman Rahmat Jaya, manakala Taman Sri Muda di daerah Klang turut dinaiki air.

Ahmad Fairuz berkata, tiga PPS diaktifkan di Hulu Langat iaitu Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras yang menempatkan sembilan keluarga (35 mangsa), Dewan Kampung Baru Sungai Chua yang menempatkan 13 mangsa daripada empat keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai yang menempatkan 80 mangsa daripada 18 keluarga.

Katanya, empat lagi PPS dibuka di Sepang iaitu di Dewan MPKK, Kampung Jenderam Hilir, Dengkil yang menempatkan 33 mangsa daripada lapan keluarga, Dewan Majlis Perbandaran Sepang di Dengkil yang menempatkan 81 mangsa daripada 18 keluarga dan seramai 23 mangsa daripada lima keluarga kini berlindung di Dewan KOA Dengkil, manakala PPS di Dewan Gemilang, Dengkil juga diaktifkan namun belum ada penduduk dipindahkan di situ.

Beliau berkata, ‘Smart Selangor Command Centre’ (SSCC) akan terus memantau dan membuat tindakan susulan banjir serta akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, KLIA, Selayang, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, Bangi, Rawang, Kuala Kubu Baru serta Sepang terbabit dalam usaha memindahkan penduduk terjejas.

Beliau berkata, paras air antara 0.6 meter hingga 1.5 meter di sesetengah kawasan di Sepang dan pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan banjir sehingga jam 5 pagi tadi.

Banjir di Sepang mulai surut pada jam 8 pagi tadi dan pemantauan akan dilakukan secara berterusan sehingga banjir surut sepenuhnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.