Tidak dibenar berjumpa keluarga elak risiko jangkitan

40

18 JULAI: Kesemua 96 rakyat Malaysia termasuk 62 jemaah Tabligh yang baru tiba dari New Delhi, India menerusi pesawat khas pagi tadi didapati berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook miliknya memaklumkan, mereka terdiri daripada 72 lelaki dan 24 perempuan dengan pecahan 92 dewasa dan 4 kanak-kanak dan kini menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat pengawasan di Nilai.

“Saringan kesihatan oleh petugas kesihatan yang sedang bertugas di Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) telah dijalankan di mana tiada yang didapati mengalami demam serta gejala lain bagi COVID-19.

“Swab sampel Nasopharyngeal telah diambil di Pintu Masuk KLIA untuk ujian makmal pengesanan COVID-19 bagi 88 orang (8 orang ahli keluarga petugas kedutaan telah menjalankan ujian sebelum berlepas di India dan didapati Negatif COVID-19),” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan akhbar, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 96 rakyat Malaysia itu tidak dibenarkan menerima kunjungan ahli keluarga selepas mengambil kira risiko jangkitan COVID-19.

Katanya, mereka kini diarah menjalani kuarantin wajib 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi AKEPT.

Katanya, pusat pengawasan di Nilai, Negeri Sembilan itu dikendalikan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikawal Polis Diraja Malaysia.

“Mengambil kira faktor risiko jangkitan, kesemua 96 individu akan menjalani kuarantin wajib 14 hari AKEPT, Nilai, Negeri Sembilan.

“Pusat Pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga dikawal oleh PDRM. Oleh itu, pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan mengunjungi AKEPT.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan pemantauan PDRM ke atas 1,186 invidu yang diarah menjalani kuarantin wajib di rumah mendapati mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, semalam pula seramai 707 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari China, Indonesia, Qatar, UAE, Singapura, Kemboja, Filipina, Hong Kong, Pakistan, Arab Saudi dan Jepun.

“Seramai 706 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala satu individu telah dibawa ke hospital,” katanya.

Ketibaan individu dari luar negara mula menjadi perhatian apabila saban hari dilaporkan kes import di negara ini.

Berikutan itu, beberapa pihak membangkitkan sama ada individu yang baru tiba dari luar negara perlu kembali menjalani kuarantin wajib di pusat pengawasan seperti yang pernah dilaksanakan ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.