Sistem Imigresen ditingkatkan menerusi NIISE

100

18 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia bakal mempertingkatkan sistemnya dengan membangunkan Sistem Integrasi Imigresen Nasional (NIISE) yang dijangka dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sistem baharu itu akan mengatasi kelemahan-kelemahan yang terdapat pada sistem lama iaitu Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Kami telah memanggil beberapa syarikat besar untuk memasuki tender bagi mempertingkatkan sistem Jabatan Imigresen. Ia satu sistem yang besar dan memerlukan sedikit masa untuk penghasilannya.

“Apabila siap, NIISE itu nanti bukan sahaja akan mengesan pergerakan keluar masuk warga asing malah mampu mengesan mereka yang tinggal di negara ini melebihi tempoh,”” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sub Taktikal Pasukan Gerakan Am Teluk Melano, Sematan Sarawak hari ini.

Kawasan tersebut terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Setiausaha Bahagian Pembangunan KDN, Datuk Rahmah Ramli dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 yang dibentangkan minggu lalu mengesahkan terdapat 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia setakat 15 April lepas iaitu terdapat masalah teknikal pada sistem MyIMMs yang mencatatkan sebanyak 4,489 kes ‘system down’ bagi tempoh 2016 hingga 2018.

Sementara itu, Hamzah menafikan kenyataan pihak tertentu yang mendakwa terdapat kira-kira enam juta warga asing yang tiada dokumen berada di negara ini.

Beliau berkata, penangkapan warga asing yang dilakukan penguat kuasa secara purata bagi tiap-tiap tahun adalah kira-kira 500,000 orang dan daripada jumlah itu, yang benar-benar tiada dokumen adalah 20,000 orang.

“Ini menunjukkan tidak sampai 20 peratus warga asing yang tidak mempunyai dokumen berada di sini dan jika jumlah mereka yang ada dalam negara kira-kira dua juta, jadi saya yakin warga asing yang tiada dokumen yang masih berada di Malaysia adalah sekitar 500,000 sahaja.

“Tidak boleh kita buat tuduhan bahawa jumlah warga asing yang tiada dokumen berada dalam negara ini adalah satu angka yang besar seperti dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan sehingga enam juta orang,” katanya.

Sementara itu, menerusi Facebook beliau, Hamzah turut berkongsi gambar kunjungan hormatnya ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sempena lawatannya ke negeri ini.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan sempadan negara, khususnya perbatasan Sarawak dan Kalimantan,” kata Hamzah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.