“Saya tawar diri untuk bantu Presiden” – Dr Radzi Jidin

96

18 JULAI: Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Md. Jidin, mengesahkan beliau menawarkan diri untuk merebut kerusi Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu, dijadual pada akhir September depan.

Dr Radzi yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ketereh berkata, beliau menawarkan diri untuk merebut salah satu daripada tiga jawatan naib presiden kerana mahu memperkukuhkan parti.

“Saya menawarkan diri bertanding dengan niat untuk membantu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengukuhkan parti dan memastikan Bersatu sentiasa dekat di hati rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Santai Tengah hari bersama pemimpin Bersatu Tawau, Kalabakan, Semporna dan Silam yang turut dihadiri Ketua Bersatu Bahagian Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, hari ini.

Selain Radzi, seramai 18 calon bertanding bagi jawatan Naib Presiden, antaranya Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan pemilihan itu, Dr Radzi yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, setakat ini segala persiapan untuk proses pemilihan yang dikendalikan oleh jawatankuasa pemilihan parti (JPP) diketuai Tan Sri Syed Hamid Albar tersusun rapi dan berharap ia dapat dilaksana dengan baik.

“Semoga kepimpinan baharu yang akan dilantik akan terus dapat mengukuhkan parti dan memastikan Bersatu terus berkembang dan mendapat sokongan dan dokongan rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk merebut jawatan Naib Presiden beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli dalam membuat keputusan calon yang akan diangkat untuk memegang jawatan itu.

Terdahulu media melaporkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu, selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti itu bulan depan.

Turut menang tanpa bertanding (tidak rasmi) Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.