Ops Benteng: Sembilan lagi PATI ditahan

47

18 JULAI: Seramai sembilan lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam menerusi Operasi Benteng yang dijalankan di seluruh negara,

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi operasi itu semalam, sebanyak 43,033 kenderaan diperika melibatkan 67 sekatan jalan raya bagi mengekang PATI.

“Hasilnya PDRM telah berjaya menahan 9 warganegara asing atas kesalahan imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, 14 orang ditahan semalam hasil 62,386 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, daripada jumlah itu, seramai tiga individu telah direman manakala 11 lagi individu dikompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKPP termasuk aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP),” jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara keseluruhan mendapati bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

“Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,703 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,653 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 50 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.