KPN arah tindakan segera ke atas kelab malam ingkar

56

18 JULAI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan segera terhadap dakwaan pusat hiburan dan kelab malam sudah mula beroperasi secara haram di sekitar ibu negara sekarang setelah mendapat perlindungan pihak tertentu.

Abdul Hamid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya dakwaan berkenaan benar termasuk jika ada pegawai atau anggota yang melindungi aktiviti berkenaan.

“Polis akan menjalankan siasatan rapi berhubung dakwaan terdapat banyak pusat hiburan dan kelab malam di ibu negara terutama di Bukit Bintang sudah mula beroperasi secara haram dengan dilindungi pihak tertentu.

“Saya juga akan mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM supaya menyiasat dakwaan kononnya ada balai dan pegawai polis tertentu yang bersubahat dan memberikan perlindungan kepada pusat hiburan dan kelab malam terbabit,” katanya ketika ditemui wartawan PN BBC Portal di Suria KLCC sebentar tadi.

Penahanan individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkaitan kesalahan aktiviti pub dan kelab malam menimbulkan tanda tanya ramai kerana dua aktiviti itu belum dibenarkan.

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pusat hiburan keluarga akan dibuka semula bermula 15 Julai lalu tetapi kelab malam dan disko masih tidak dibenarkan beroperasi.

Ismail Sabri berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira lebih 3,000 yang terkesan dan sumbangan sejumlah RM500 juta daripada sektor itu kepada pendapatan negara.

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP mendengar cadangan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

“Kelulusan ini membabitkan arked permainan atau taman funfair dalam bangunan, hiburan pendidikan (edutainment), gim permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi serta pusat karaoke keluarga.

“Begitu juga dengan karaoke di majlis perkahwinan, kita benarkan. Majlis perkahwinan tidak berapa meriah apabila rewang tidak ada karaoke, jadi kita benarkan,” katanya baru-baru ini. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.