Tindakan tegas Ahli Parlimen guna bahasa kesat

42

17 JULAI: Ahli-ahli Parlimen yang tidak menjaga bahasa dan kelakuan dalam sidang Dewan Rakyat perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, mereka perlu memberi penjelasan mengapa tidak boleh dikenakan denda atas kelakuan masing-masing.

“Adik-adik Ahli Parlimen jangan marah kalau saya syorkan agar kita kawal emosi dan hamburan bahasa kesat dan kasar semasa bangun berucap atau mencelah. Kita orang Melayu tak harus hilang budi bahasa.

“Jangan tampak masyarakat lain pula yang lebih mengamalkan budi bahasa. Maaf dulu atas teguran ini, ” katanya melalui ciapan Twitter miliknya, hari ini.

Beliau mengesyorkan agar tatacara piagam kelakuan baik diwujudkan khusus di Parlimen bagi memastikan Ahli-ahli Parlimen sentiasa menunjukkan kelakuan terbaik.

Sidang Dewan Rakyat Isnin lalu dicemari dengan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh wakil-wakil pembangkang yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Azhar Azizan Harun. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.