Tiada LIMA tahun depan

72

17 JULAI: Berikutan pandemik COVID-19, kerajaan memutuskan untuk membatalkan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2021 (LIMA’21) yang sepatutnya berlangsung dari 16 hingga 20 Mac tahun depan.

Kementerian Pertahanan menjelaskan, pandemik COVID-19 telah memberi impak besar bukan saja kepada Malaysia tetapi juga seluruh dunia dan wabak itu dilihat masih belum dapat ditangani sepenuhnya.

“Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan selaku penganjur utama LIMA’21 juga menyedari impak global COVID-19 bukan saja dari sudut kesihatan, malah kesan besar terhadap sosial dan ekonomi dunia.

“Justeru, kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu telah memutuskan untuk membatalkan penganjuran LIMA’21 berdasarkan impak ekonomi akibat penularan COVID-19,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurut Kementerian Pertahanan, impak ekonomi dilihat memberi kesan besar terhadap jumlah penyertaan pempamer dan pelabur dalam acara antarabangsa seperti LIMA’21.

Katanya, ia berkait rapat dengan langkah diambil oleh kebanyakan negara yang menutup sempadan serta menyekat perjalanan ke luar negara bagi mengurangkan risiko penularan wabak itu, sekali gus menyukarkan pihak kementerian untuk mencapai sasaran penyertaan ditetapkan.

“Dengan kekangan masa dalam keadaan mencabar, penganjuran acara berskala besar seumpama ini memerlukan tempoh wajar supaya dapat dirancang secara teliti dan terperinci.

“Ia termasuk menjalankan aktiviti promosi dan publisiti bagi mendapatkan sasaran penyertaan serta memenuhi keperluan pelbagai sektor berkaitan,” kata kenyataan itu.

Menurut Kementerian Pertahanan, perkara itu sekali gus akan mempengaruhi impak terhadap penjenamaan LIMA’21 yang selama ini diklasifikasikan sebagai pameran maritim dan aeroangkasa utama di rantau Asia.

“Kos penganjuran LIMA’21 dijangka meningkat dengan mengambil kira keperluan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Dengan jumlah penyertaan dijangka berkurangan, maka adalah sukar untuk mencapai pulangan pelaburan berbanding kos dikeluarkan oleh kerajaan dan penganjur,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.