Muhyiddin nafi pernah tawar TPM kepada Shafie Apdal

43

17 JULAI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menafikan dakwaan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, bahawa beliau pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Ketua Menteri Sabah itu, sebelum ini.

Dalam satu kenyataan media, Muhyiddin menegaskan beliau tidak pernah sekali pun menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen Sempona itu ketika baharu sahaja menjadi Perdana Menteri, Mac lalu.

Berikutan itu, Muhyiddin menegaskan tawaran sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah hanya andaian Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) semata-mata.

“Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam wawancara beliau dengan Malaysiakini pada 14 Julai 2020, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah sekalipun menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada beliau pada bulan Mac selepas saya menjadi Perdana Menteri, seperti yang didakwa.

“Saya menyifatkan kenyataan Mohd Shafie dalam wawancara sama yang menyatakan: “Beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu “sebagai tidak benar”. Kenyataan itu adalah andaian beliau semata-mata,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan ringkas diedarkan Pejabat Perdana Menteri di sini, sebentar tadi.

Kenyataan itu turut dimuat naik di akaun Facebook Perdana Menteri,

Sebelum ini Mohd Shafie dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini mendakwa Muhyiddin pernah menawarkan kepadanya untuk menyertai kabinet Perikatan Nasional sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Presiden Warisan menyatakan perkara ini dengan nada bergurau:
“Haha. Cuba anda tanya kepada beliau?” ketika ditanya apakah Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri pada bulan Mac, telah menawarkan Mohd Shafie jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ini selepas Mohd Shafie mendedahkan Muhyiddin berhubung dengannya untuk mendapatkan sokongan Warisan supaya dapat memperkuat PN.

Mohd. Shafie menjadi pilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang, tetapi tidak mendapat persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.