Syed Saddiq tidak ditahan, tapi dipanggil lagi SPRM

96

17 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan mereka menahan mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mereka belum menahan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) seperti yang tular.

“Tiadalah,” katanya dalam jawapan ringkas menerusi mesej pesanan WhatsApp sebentar tadi.

Sementara itu, The Star Online melaporkan, SPRM telah memanggil Syed Saddiq sekali lagi hari ini bagi membolehkan siasatan diteruskan.

“Kami tiada buat tangkapan. Kalau ada, kami akan keluarkan kenyataan,” kata Azam.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menjelaskan beliau terpaksa bergegas meninggal sidang Dewan Rakyat lebih awal kerana sekali lagi dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung kes kehilangan wang milik Armada.

Tambah Syed Saddiq, beliau, ibu bapa dan seluruh ahli keluarganya juga sudah lama mengiystiharkan harta bagi menjamin ketelusan.

“Saya perlu meninggalkan Parlimen awal sikit hari ini kerana telah dipanggil ke Pejabat SPRM untuk membantu siasatan.

“Saya sedia dan sentiasa berikan kerjasama penuh dengan SPRM,” kata dalam media sosialnya semalam.

Pada 25 Mac lalu, Syed Saddiq membuat satu laporan di Balai Polis Sungai Way berhubung kehilangan wang dianggarkan bernilai RM250,000 dari peti besi di kediamannya dekat Petaling Jaya, Selangor.

Tidak lama selepas itu, Syed Saddiq mendedahkan sebahagian besar wang tunai yang dicuri dari kediamannya di Petaling Jaya itu adalah untuk pengubahsuaian rumah.

Syed Saddiq juga memaklumkan pecahan wang berkenaan, iaitu RM90,000 adalah miliknya, manakala RM50,000 milik ibunya dan RM70,000 milik bapanya.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu SPRM mengesahkan Bendahari Armada ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang dikatakan milik Syed Saddiq, Mac lalu.

Malah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM mengesyaki berlakunya penyelewengan di dalam akaun milik Armada.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.