SPRM Pahang reman penolong jurutera PBT

31

17 JULAI: Seorang penolong jurutera pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa.

Perintah reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Norita Mohd Noh bermula hari ini sehingga 22 Julai, selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM Pahang, penolong jurutera tersebut ditahan di Pejabat SPRM Pahang pada jam 6.15 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati suspek dikatakan telah menyalahgunakan kuasanya dengan mengurangkan kadar rebat untuk membina bangunan tanpa kelulusan yang dimiliki oleh sebuah syarikat swasta di mana beliau mempunyai kepentingan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.