Najib, Rosmah dibenar batal saman Deepak

15

16 JULAI: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain untuk membatalkan saman yang difailkan ahli perniagaan J.R. Deepak Jaikishan dalam tuntutan ganti rugi RM676 juta berhubung dakwaan penipuan beberapa transaksi berpunca daripada konspirasi jual beli tanah.

Peguam Datuk David Mathews, yang mewakili Najib dan Rosmah memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan untuk membatalkan saman itu di kamarnya.

Menurut beliau, mahkamah membenarkan permohonan defendan dengan alasan Deepak tidak mempunyai lokus standi untuk menuntut kerugian yang didakwa beliau dalam samannya dan penyataan tuntutan tidak mendedahkan alasan yang munasabah berhubung tindakan itu.

David menjelaskan, mahkamah mengarahkan plaintif membayar membayar kos RM15,000 kepada pasangan itu dan RM15,000 lagi kepada Boustead Holdings Berhad dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn Bhd, selaku defendan.

Deepak yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Irzan Iswat Mohd Noor mengesahkan keputusan prosiding hari ini.

Najib dan Rosmah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 7 Januari 2019 manakala dua lagi defendan – Boustead Holdings dan anak syarikatnya, Bakti Wira – mengemukakan permohonan mereka pada 17 Disember 2018 dengan alasan mereka tidak terlibat dalam dakwaan konspirasi.

Deepak memfailkan saman itu pada 12 Oktober 2018, mendakwa beliau mengalami kerugian akibat konspirasi, penipuan dan pengaruh yang tidak wajar oleh defendan dalam urusan pembelian tanah yang didakwa menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.

Deepak mendakwa, beliau sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggih Sdn Bhd menandatangani satu perjanjian dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn Bhd, Raja Ropiaah Raja Abdullah berhubung tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja, dalam Daerah Petaling.

Dia mendakwa bayaran deposit RM13 juta telah dibayar oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House (M) Berhad berjumlah RM72.5 juta oleh syarikatnya itu dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia.

Walau bagaimanapun, beliau mendakwa Awan Megah enggan mengemukakan geran asal bagi tanah terbabit untuk dipindah milik kepada Astacanggih.

Deepak mendakwa akibat konspirasi dan campur tangan Najib dan Rosmah yang masing-masing dinamakan selaku defendan pertama dan kedua, beliau terpaksa menjual 80 peratus (16 juta unit) daripada saham dimilikinya dalam Astacanggih kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, Bakti Wira Development.

Sehubungan itu, Deepak menuntut ganti rugi am RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi berpanjangan RM26 juta.

Sementara itu ketika ditemui selepas prosiding itu, Deepak memberitahu pemberita beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.