Lebih 100 ahli PAN Labuan masuk Bersatu

118

17 JULAI: Kedudukan Parti Amanah Negara (PAN) dalam arena politik negara semakin lemah berikutan tindakan lebih 100 ahlinya di Labuan meninggalkan parti itu hari ini untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka yang dahulunya ahli-ahli PAN Cawangan Kampung Bebuloh dan Kampung Belukut menyerahkan borang kepada Ketua Bersatu Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman di Balai Raya Kampung Bebuloh Laut.

Kumpulan tersebut diketuai oleh bekas Ketua PAN Cawangan Kampung Bebuloh Laut, Samat Maidin.

Pada 9 Julai lalu, PAN Labuan dibubarkan selepas seluruh ahli jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua PAN Labuan, Chemat Mustapha meletak jawatan secara mengejut.

Sementara itu, Suhaili menyifatkan perkembangan tersebut sebagai petanda positif untuk Bersatu memperkukuhkan kedudukannya di Labuan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada ahli atas semangat dan kepercayaan mereka terhadap perjuangan Bersatu.

“Sudah tiba masanya jentera Bersatu Labuan menyatukan anggotanya dan memperkukuhkan parti di Labuan demi rakyat dan pemerintah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.