Kelulusan pembiayaan Penjana PUNB dipercepat

140

17 JULAI: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memberi jaminan akan memastikan proses dan tempoh kelulusan pembiayaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dipercepatkan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, tempoh kelulusan itu disingkatkan daripada tiga bulan kepada tiga minggu bagi membolehkan usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerima manfaat dan memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Menurut beliau, PUNB akan memberikan pembiayaan bermula daripada RM100,000 hingga RM1 juta mengikut saiz syarikat.

NOH OMAR

“Tempoh yang dipercepatkan itu untuk usahawan yang berada di bawah PUNB dan prosedur perlu diubah dan tidak boleh sama seperti usahawan yang memohon pembiayaan baharu,” katanya.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi PUNB dan Sambutan Ulang Tahun PUNB Ke-29 di Kuala Lumpur.

Sebelum itu, beliau menerima nota serah tugas sebagai Pengerusi PUNB daripada bekas penyandang jawatan tersebut, Datuk Hazimah Zainuddin.

PUNB diberi tanggungjawab menawarkan pembiayaan dengan jumlah keseluruhan RM200 juta di bawah Penjana.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh menyarankan supaya sektor pembiayaan yang ditawarkan setakat ini diperluaskan supaya lebih banyak perniagaan boleh memohon dengan PUNB.

Beliau menambah, PUNB akan memfokuskan kepada industri perniagaan lain seperti industri kecil dan sederhana yang berpotensi untuk dikomersialkan serta dipasarkan ke peringkat lebih tinggi.

Sehingga Jun 2020, PUNB telah memberi pembiayaan kepada seramai 11,200 usahawan melibatkan 7,841 syarikat dengan jumlah sebanyak RM3.29 bilion.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.