Dr Noor Hisham, KKM terima Anugerah BrandLaureate

71

17 JULAI: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerima Anugerah BrandLaureate – Kepimpinan Jenama Cemerlang 2020 bagi mengiktiraf kepemimpinan beliau dan cabaran yang dilalui untuk mendorong rakyat mendepani COVID-19 melalui pelbagai inisiatif.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut menerima Anugerah BrandLaureate – Sijil Pengiktirafan dan Penghargaan sebagai Penyampai Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Cemerlang.

Kedua-dua anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi The BrandLaureate, Tan Sri Rainer Althoff kepada Dr Noor Hisham di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

Memetik kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham mendedikasikan anugerah berkenaan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir.

“Kami tidak berada di sini kerana populariti tetapi apa yang lebih penting adalah untuk melindungi negara”, katanya.

Beliau menambah, KKM telah melakukan pelbagai usaha termasuk meneliti garis panduan, memberikan latihan kepada kakitangan, mengadakan kerjasama dengan kementerian lain serta merancang penggunaan fasiliti bagi menangani penularan COVID-19.

Menurut beliau, walaupun sekarang Malaysia mencatatkan satu digit kes baharu harian tetapi masih ada sebilangan kes kluster yang telah dikenal pasti.

“Kementerian Kesihatan masih terus menjalankan kerja mengenal pasti, mengesan dan membendung jangkitan COVID-19 sebelum merebak.

Dr Noor Hisham turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas kesabaran dan kerjasama yang telah berikan kepada barisan hadapan dan pihak berkuasa sepanjang masa yang mencabar ketika ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.