4 kluster baharu COVID-19 muncul

59

17 JULAI: Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti empat kluster baharu COVID-19 hari ini iaitu PUI Pitakwa, PUI Shirala, Pusat Perubatan Kuching dan Jupiter.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks Kluster PUI Pitakwa merupakan seorang rakyat Malaysia (kes ke-8737) yang pulang ke Malaysia dari Nigeria pada 11 Julai lalu.

Menurut beliau, saringan COVID-19 di pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif.

“Tiga hari selepas ketibaan di Malaysia beliau perlu menjalani ujian ulangan bagi COVID-19 kerana mula mengalami gejala yang lebih teruk di mana beliau dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, susulan seramai 44 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring terutamanya dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan kru kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, dua orang dikesan dikesan positif COVID-19 iaitu kes ke-8754 dan 8755, tiga orang negatif dan 39 orang lagi masih menunggu

Berhubung Kluster PUI Shirala, Dr Noor Hisham menyatakan, kes indeks kluster tersebut merupakan seorang bukan warganegara golongan profesional (kes ke-8730) yang tiba di Malaysia pada 6 Julai lalu atas urusan kerja.

“Saringan COVID-19 di India dan kemudiannya di pintu masuk antarabangsa KLIA didapati negatif,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, lima hari selepas ketibaan di Malaysia, individu terbabit perlu menjalani ujian ulangan bagi COVID-19 kerana mula mengalami gejala pada 11 Julai lalu dan dikesan positif COVID-19.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Setakat ini, dua kontak rapat telah dikenalpasti di mana satu kes dikesan positif COVID-19 (kes ke-8738) dan seorang lagi adalah negatif,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks Kluster Pusat Perubatan Kuching merupakan seorang warganegara Malaysia (kes ke-8734) yang telah menjalani saringan COVID-19 kerana beliau berisiko tinggi sebagai petugas kesihatan barisan hadapan.

“Namun tidak mempunyai gejala. Beliau dikesan positif COVID-19 pada 14 Julai 2020 dan kemudiannya telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Setakat ini, satu kes dikesan positif COVID-19 daripada 26 kontak rapat telah dikenal pasti termasuk ahli keluarga dan rakan sekerja.

“Manakala yang lain adalah negatif. Kes positif tersebut adalah ke-8744 dan merupakan rakan setugas kes ke-8734 di sebuah pusat perubatan di Kuching,” katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, kes indeks Kluster Jupiterr merupakan seorang bukan warganegara (kes ke-8723) yang bekerja di sebuah kapal yang berlayar serta mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan Singapura.

“Beliau mula mengalami gejala pada 3 Julai 2020 dan gejala menjadi semakin teruk pada 11 Julai 2020 di perairan Sarawak.

“Beliau telah dimasukkan ke pusat perubatan dan saringan COVID-19 didapati positif. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Bintulu, Sarawak,” jelasnya.

Dr Noor Hisham memberitahu, susulan itu, seramai 29 kontak rapat telah dikenal pasti di dalam kapal tersebut di mana kesemuanya adalah merupakan anak kapal.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, dua orang dikesan positif COVID-19 (kes ke-8747, kes ke-8748) manakala dan 27 orang lagi negatif.

“Kluster ini adalah kluster import yang terpencil. Masyarakat sekeliling sememangnya tidak terdedah kepada anak kapal ini namun kes yang memerlukan rawatan akan segera dibawa ke pusat perubatan dan hospital,” katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 18 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,755 kes.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 92 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada 18 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tujuh orang warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Daripada lapan kes penularan di dalam negara, enam kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia,” jelasnya.

Beliau menambah, tiada kematian berkaitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 122 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Tiga kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,541 kes (97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.