Strategi basmi kemiskinan Malaysia berhasil

116

16 JULAI: Penurunan kadar kemiskinan mutlak di negara ini membuktikan dasar dan strategi pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah berhasil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan metodologi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2018, kadar kemiskinan mutlak adalah 5.6 peratus (405,441 isi rumah) pada 2019 berbanding 7.6% (525,743 isi rumah) pada 2016.

“Umumnya, kita telah berjaya. Sebagai contoh, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) telah mengiktiraf kejayaan Malaysia.

“Membasmi kemiskinan adalah agenda utama kerajaan sejak merdeka sehingga hari ini,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong tentang perubahan had PGK daripada RM980 sebulan kepada RM2,208 sebulan.

Mustapa turut menjelaskan, peningkatan had PGK tersebut disebabkan oleh beberapa faktor antaranya konnsep PGK makanan yang berubah daripada keperluan ‘minimum’ kalori kepada keperluan ‘optimum minimum’ yang menunjukkan peningkatan kualiti item bakul makanan berdasarkan Piramid Makanan 2020.

Selain itu, beliau memberitahu, bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan B20 telah bertambah dari 106 kepada 146 barangan serta perubahan pola perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.