SPRM panggil Syed Saddiq sekali lagi

219

16 JULAI: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil sekali lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bagi membantu siasatan kehilangan wang didakwa milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), hari ini.

Perkara tersebut disahkan oleh beliau sendiri dalam laman Facebook miliknya.

Sehubungan itu, bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan meninggalkan sidang Dewan Rakyat lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Saya sedia dan sentiasa berikan kerjasama penuh dengan SPRM.

“Saya, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga saya juga telah lama mengisytihar harta untuk menjamin ketelusan kami semua.

“Saya sentiasa berlaku jujur dan berani kerana benar. Semoga urusan saya dan SPRM hari ini dipermudahkan,” katanya.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung kes kehilangan wang tersebut pada Mac lalu dan ibu bapa serta beberapa pemimpin Armada telah dipanggil memberi keterangan.

Sementara itu, Syed Saddiq hari ini menjadi tumpuan di media sosial selepas tular gambar sedang makan di dalam Dewan Rakyat (gambar atas) pada sesi pagi tadi.

Umum mengetahui, sememangnya makan tidak dibenarkan di dalam Dewan Rakyat dan perbuatan Ahli Parlimen Bebas Muar itu mendapat kecaman di kalangan netizen. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.