SPR bersedia hadapi kemungkinan PRU-15

174

16 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu penting bagi memastikan pengendalian penjalanan PRU berkenaan berjalan dengan lancar dan sempurna terutamanya dalam tempoh pasca COVID-19.

Justeru, Takiyuddin berkata SPR membuat persediaan dan perancangan yang menyeluruh meliputi aspek seperti keperluan bajet pilihan raya, peralatan, logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.

Mahdzir Khalid

“SPR juga sudah mengadakan perbincangan dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dalam membantu melancarkan lagi proses pilihan raya.

“Sebagai persiapan menghadapi PRU Ke-15 , SPR juga akan mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan ke atas daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi,” katanya dalam jawapan terhadap pertanyaan lisan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Dewan Rakyat, hari ini.

Mahdzir meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah tahap kesiapsiagaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi kemungkinan berlakunya PRU dan apakah perkembangan cadangan untuk mengaplikasikan kaedah pengundian secara elektronik (e-undi) dalam pilihan raya sebagai alternatif kepada kaedah konvensional dalam tempoh pasca COVID-19.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata urusan pengemaskinian daerah mengundi ini akan dilaksanakan oleh SPR dari semasa ke semasa selaras dengan Seksyen 7 (2) Akta Pilihan Raya 1958.

Beliau berkata SPR akan memastikan pewujudan pusat-pusat mengundi baharu ini akan memudahkan pemilih untuk keluar mengundi pada masa hadapan.

“Selain itu, SPR juga menjalankan urusan pengemaskinian daftar pemilih dari semasa ke semasa berdasarkan kepada Peraturan 10 dan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. Ini termasuklah memotong nama pemilih yang telah disahkan meninggal dunia dan memotong nama pemilih yang telah disahkan melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraan.

“Bagi memastikan pilihan raya dilaksanakan dengan adil dan telus, SPR akan meneruskan pelaksanaan penambahbaikan terhadap proses penjalanan pilihan raya seperti yang telah dilaksanakan dalam pilihan raya kecil selepas PRU Ke-14,” katanya.

Pada masa ini, Takiyuddin berkata proses penjalanan pilihan raya akan disesuaikan mengikut Garis Panduan Pencegahan COVID-19 selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin berkata, SPR tidak bercadang memperkenalkan sistem sistem pengundian secara elektronik (e-undi) dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kerajaan tidak dapat berbuat demikian kerana sehingga kini SPR belum berpuas hati dengan isu kerahsian dan keselamatan sistem e-undi.

Berikutan itu SPR sedang mengadakan libat urus (engagement) dengan semua pihak yang terbabit dari dalam dan luar negara bagi meneliti kesesuaian kaedah pengundian ini.

“Penggunaan kaedah ini juga membabitkan beberapa cabaran baru berkaitan dengan isu-isu kerahsiaan, keselamatan, kos dan pendidikan pengundi.

“Dalam hal ini, SPR masih belum berpuas hati dengan isu kerahsiaan dan keselamatan. Justeru, SPR akan terus mengadakan libat urus dengan pihak yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dikemukakan kepada kerajaan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.