Program Gedung Makanan Negara diteruskan di Felda

184

16 JULAI: Kerajaan berhasrat mewujudkan kembali Gedung Makanan Negara (GMN) yang dilaksanakan di tanah rancangan Felda bagi membantu peneroka mengeluarkan tanaman berskala besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi tujuan itu dan setakat ini, sebanyak RM38 juta telah dibelanjakan.

“RM100 juta lagi menjelang tahun ini dan bermula di Bukit Rokan, Tampin ada ternakan arnab dan beberapa pengusaha menternak lembu yang saya berkesempatan melawat berjumpa dua penternak yang seorang ada 290 ekor dan seorang ada 100 ekor.

“Kedua-dua mereka berjaya, ini salah satu pendekatan baharu di bawah kepimpinan baharu dan kita menaruh keyakinan pada Pengerusi Felda baharu dan Pasukan Khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar yang boleh melonjakkan Felda untuk capai kejayan termasuklah jadikan Felda untuk dijadikan Gedung Makanan Negara,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

AHMAD MASLAN

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tentang cadangan kerajaan dahulu mewujudkan Gedung Makanan Negara supaya tanah peneroka dapat diusahakan untuk kegiatan penternakan dan tanaman berskala besar.

Terdahulu, bagi menjawab soalan asal Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias mengenai perkembangan pelaksanaan Kertas Putih Felda setakat suku kedua 2020, Mustapa menjelaskan, antara strategi utama yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan adalah menambah baik tadbir urus korporat.

JALALUDDIN ALIAS

Beliau memberitahu, strategi lain termasuk menangani masalah aliran tunai, merasionalisasi pelaburan dan kepentingan, memperkasa peneroka, mengukuhkan sistem perakaunan dan meningkatkan penglibatan dalam aktiviti hiliran

Mustapa menambah, komitmen kerajaan untuk melaksanakan Kertas Putih Felda dibuktikan melalui peruntukan kewangan termasuk pemberian jaminan kerajaan berjumlah RM6.23 bilion dalam tempoh empat tahun.

“Peruntukan tersebut terdiri daripada Program Pembangunan Peneroka bagi mendapatkan hasil baharu berjumlah RM1 bilion, penyiapan projek terbengkalai Perumahan Generasi Baharu Felda atau PGBF berjumlah RM250 juta, penghapusan faedah hutang kebun peneroka berjumlah RM2 bilion, pemberian pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka berjumlah RM480 juta dan pemberian jaminan ke atas penstrukturan semula pinjaman Felda berjumlah RM2.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata, Felda juga sedang berunding dengan Kementerian Kewangan bagi penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bagi melaksanakan penstrukturan semula pinjaman Felda di samping menyalurkan peruntukan pinjaman sebanyak RM480 juta kepada Felda dengan kadar pinjaman peratus untuk diagihkan bagi membantu peneroka semasa tempoh pembangunan tanam semula. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.