PH tumbang kerana gagal tunai janji

115

16 JULAI: Perubahan dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PH) adalah sesuatu yang amat luar biasa dan amat memeranjatkan rakyat.

Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebuah kerajaan dipilih oleh rakyat runtuh dalam masa tidak sampai dua tahun atau lebih tepat lagi 22 bulan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak pernah membayangkan bahawa kerajaan PH akan tumbang kerana mereka gagal melaksanakan segala janji manis ditabur mereka ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.


Menurut Bung Moktar, UMNO tidak bertanggungjawab atas kejatuhan PH namun ia berlaku kerana Ahli Parlimen BEBAS Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu.

“Saya sendiri pun tidak pernah jangka tetapi beginilah akibatnya kerajaan dipilih oleh rakyat atas dasar janji-janji dan kata-kata manis tetapi tidak menunaikannya. Berikutan itu rakyat meminta mereka dibubarkan dan akhirnya PH dijatuhkan oleh PH sendiri.

“Bagaimanapun, rupa-rupanya Ketua Negara kita Yang di-Pertuan Agong telah memilih pemimpin yang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dan ia adalah keputusan terbaik,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah percaya rakyat akan mengalami situasi sukar dan lebih menderita jika Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan kerana negara ketika itu sedang berdepan penularan pandemik COVID-19.

Berikutan itu, Bung berkata wujudlah kerajaan baharu walaupun bukan menerusi pilihan raya namun mereka dipilih oleh rakyat.

“Sehubungan itu semua Ahli Parlimen, Menteri dan Timbalan Menteri kerajaan PN perlu melakukan yang terbaik bagi memastikan nasib rakyat lebih terbela dan diutamakan.

“Jika kerajaan PN dapat  melakukan yang terbaik maka saya percaya kita akan terus menjadi pilihan utama rakyat dalam PRU-15,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.