Panas telinga ditempelak Nik Zawawi, Khalid keluar dewan

1,627

16 JULAI: Ahli Parlimen PH Shah Alam, Khalid Abdul Samad keluar dari sidang Dewan Rakyat hari ini setelah berlaku pertikaman lidah antara beliau dan Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Khalid mungkin ‘panas telinga’ apabila diberi peringatan oleh Nik Muhammad Zawawi bahawa beliau akan kehilangan kerusi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kita bertanding dan tentunya Shah Alam berada di Shah Alam dan bukannya di dewan ini.

“Shah Alam kena tunggu dan Shah Alam ingat apa yang saya sebut dalam sedikit masa lagi Shah Alam akan tahu di mana tempat duduk Shah Alam,” kata Nik Muhammad Zawawi.

Walau bagaimanapun, Khalid meninggalkan ‘tempat duduknya’ di dalam Dewan Rakyat sebaik sahaja Nik Muhammad Zawawi menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Perbuatan Khalid itu disedari oleh Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang berkata, “Shah Alam dah lari.”

Khalid kemudian menjawab beliau ‘tidak lari, jalan je’ sebelum meninggalkan sidang Dewan Rakyat.

Isnin lalu, Khalid mencatatkan sejarah sebagai Ahli Parlimen pertama yang diarahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu, Datuk Azhar Azizan Harun keluar dewan kerana mengganggu ucapannya.

Sebelum perbahasannya dicelah oleh Khalid, Nik Muhammad Zawawi merakamkan penghargaan terhadap semua Ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional (PN) yang sanggup mengorbankan kepentingan dalam parti masing-masing demi menjayakan gagasan yang mulia itu.

“Rakan-rakan dalam UMNO khususnya berkorban banyak, sanggup mengorbankan kepentingan bagi memastikan gagasan yang mulia dan penting dalam pembangunan negara berlaku,” jelasnya.

Malah, beliau berpandangan, penyatuan parti-parti politik dalam PN berupaya dijadikan model di peringkat dunia khususnya di negara-negara Arab yang menyambut baik penubuhan kerajaan PN. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.