Nasruddin ganti Nik Omar sebagai YDP YADIM

177

15 JULAI: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasruddin Hassan dilantik menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz selaku Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, mengesahkan perkara itu dan ia berkuatkuasa hari ini.

Berdasarkan satu posting yang dimuat naik di Facebook milik Dr Zulkifli pagi ini yang memaklumkan menerima kunjungan Nasruddin dan Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang baharu Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkuatkuasa hari ini.

“Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Nasruddin Hasan. Saya mengharapkan YADIM dan YaPEIM akan terus memacu kecemerlangan untuk ummah.

“Penghargaan khusus saya zahirkan kepada Datuk Dr. Daud Bakar dan Nik Omar Nik Abdul Aziz atas sumbangan dan jasa sepanjang berkhidmat. Semoga Allah SWT membalasnya dengan ganjaran setimpal,” katanya menerusi posting itu.

Nasruddin juga bekas Ahli Parlimen PAS Temerloh.

Pengesahan ini sekaligus menjawab spekulasi peletakan jawatan Nik Omar Nik Abdul Aziz yang melepaskan jawatan Yang Dipertua YADIM semalam.

Ia selepas surat kepada kakitangan yayasan berhubung perkara itu tular di media sosial.

Difahamkan peletakan jawatannya atas arahan memandangkan ia adalah 5 bulan lebih awal daripada kontraknya yang berakhir pada Disember.

Nik Omar dilantik mengetuai Yadim pada 14 Dis 2018 bagi tempoh 2 tahun ketika pentadbiran Pakatan Harapan, menggantikan Yusri Mohamad yang tamat tempoh kontraknya pada 31 Oktober.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.