Myvi versi baharu dibuka untuk tempahan

97

16 JULAI: Peminat-peminat Perodua Myvi kini boleh menempah versi terbaharu ASA 2.0 di semua bilik pameran Perodua di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sebelum ini, sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) hanya terdapat pada varian 1.5 AV.

Menurut beliau, tahun ini, versi yang dipertingkatkan, ASA 2.0, terdapat pada varian 1.5 AV dan 1.5 H, serta ditawarkan secara pilihan pada 1.3 X dan berharga antara RM41,000 hingga RM53,000.

“Dengan pengenalan ASA 2.0, Perodua Myvi telah membawa keselamatan yang maju ke tahap baharu pada harga ini.

“Myvi terkini ini juga menyaksikan Perodua terus membawa teknologi keselamatan canggih kepada rakyat dengan menjadikannya mampu milik,” katanya dalam kenyataan media.

Myvi versi terbaharu itu boleh didapati dalam warna luaran baharu iaitu Electric Blue untuk semua varian sementara warna lain seperti Ivory White, Glittering Silver, Lava Red dan Granite Grey turut ditawarkan untuk semua varian kecuali model 1.3 G.

Sistem ASA yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran muncul buat kali pertama pada Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017.

Ia merangkumi amaran pra-pelanggaran (sehingga 30 km/j), brek pra-pelanggaran (sehingga 30 km/j), amaran pergerakan hadapan dan kawalan kesilapan pedal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.