MySalam bayar lebih RM1.2 juta kepada pesakit Covid-19

62

16 JULAI: Kerajaan menyalurkan bantuan bernilai lebih RM1.2 juta kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang dijangkiti Covid-19 menerusi Skim Perlindungan Takaful Percuma, MySalam.

Malah, sehingga 5 Julai lalu, kerajaan sudah meluluskan 2,124 tuntutan bernilai lebih RM1,263,100 kepada golongan B40 yang dijangkiti wabak itu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata tuntutan itu disalurkan selepas kerajaan memperluaskan skim terbabit kepada kumpulan B40 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“Manfaat hospitalisasi skim mySalam sudah diperluaskan kepada golongan B40 yang dijangkiti Covid-19 dan mereka yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI),” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan ahli parlimen DAP Lanang  Alice Lau Kiong Yeingyang meminta kerajaan menyatakan jumlah terkini penerima skim mySalam khususnya di Sarawak dan jumlah tuntutan berkaitan Covid-19.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sebanyak 8,034 tuntutan mySalam dibuat sepanjang tahun lalu membabitkan nilai RM11,545,400.

“Tahun ini setakat 5 Julai lalu, sebanyak 16,893 tuntutan diluluskan dengan jumlah yang disalurkan adalah sebanyak RM20,819,250.



“Bagi Sarawak pula, jumlah penerima skim mySalam yang diluluskan sehingga 30 Jun lalu adalah seramai 943 orang dengan jumlah yang sudah disalurkan sebanyak RM1,296,150,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.