Masa bank berkorban untuk pelanggan – Najib

76

16 JULAI: Semua bank di negara ini seharusnya bersedia untuk berkorban bagi membantu pelanggan-pelanggan mereka yang terjejas akibat COVID-19 dengan melanjutkan tempoh moratorium kepada para peminjam.

Ahli Parlimen BN Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa yang sama, kerajaan perlu bertegas dan tidak tunduk terhadap kemahuan pihak bank.

Menurut beliau, bank-bank tempatan sepatutnya sedar bahawa kerajaan dan tabung-tabung amanah berkaitan kerajaan adalah antara pemegang saham terbesar bank-bank di Malaysia manakala seluruh industri perbankan adalah di bawah kawalan kerajaan.

NAJIB RAZAK

“Kita perlu faham, kerajaan memang ada kuasa yang besar ke atas bank-bank dalam Malaysia – baik dari segi pemilikan saham, suntikan dana kos rendah, garis panduan bank atau undang-undang yang berkaitan. Sejak sekian lama bank mencatat keuntungan besar berbilion-bilion setiap tahun.

“Sebagai contoh jika selama ini sebuah bank biasanya membuat keuntungan melebihi RM5 billion, tetapi tahun ini hanya mendapat RM1 bilion dan RM2 bilion sahaja, ia tidak akan melumpuhkan sistem kewangan negara.

“Inilah masa bank-bank perlu berkorban supaya pelanggan-pelanggan mereka tidak terjejas dan masih mampu untuk mengembalikan keuntungan berbilion-bilion kepada bank pada masa depan apabila krisis COVID-19 berakhir,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu turut menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan banyak syarikat dan invididu terpaksa diisytiharkan sebagai muflis kerana tidak mampu melunaskan bayaran ansuran setelah tempoh moratorium tamat Oktober ini.

“Kita perlu sedar bahawa sebab utama bank-bank mahu bayaran ansuran disambung semula ialah supaya mereka ingin pokok atau bayaran prinsipal pinjaman dibayar agar mereka ada dana untuk menyediakan pinjaman semula kepada pelanggan baru.

“Sebaliknya, jika permintaan untuk pinjaman baru juga telah menjunam, maka tiada keperluan untuk bank memaksa pelanggan mereka membayar semula pokok atau prinsipal pinjaman,” katanya

Sehubungan itu, Najib mencadangkan, institusi kewangan boleh mempertimbangkan agar peminjam membayar ansuran bulanan bagi bahagian faedah sahaja dan tidak melibatkan baki prinsipal.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berharap kerajaan PN tidak mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) yang memandang ringan tentang risiko kemelesetan ekonomi akibat COVID-19.

“Jangan tersilap atau mengambil ringan. Ini adalah krisis ekonomi paling parah pernah negara dan dunia hadapi sejak 100 tahun lepas iaitu sejak 1920-an yang dikenali sebagai ‘The Great Depression’.

“Sebagai contoh, ekonomi negara jiran Singapura menjunam 41.2 peratus pada suku kedua tahun 2020 berbanding suku sebelumnya yang juga turut menurun 10.6 peratus manakala lebih 30 juta orang di Amerika Syarikat sudah kehilangan kerja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada kerajaan untuk memmpermudahkan dan mempercepatkan proses kelulusan pelaburan dan perniagaan baharu.

“Keutamaan kerajaan ialah untuk memudahkan dan menggalakkan mereka memulakan operasi bagi menjana aktiviti ekonomi dan pekerjaan baru secepat mungkin,” jelasnya.

Najib turut mencadangkan kepada kerajaan untuk mempercepatkan projek-projek infrastruktur rakyat sedia ada seperti ECRL, MRT2, LRT3, Pengerang, RTS, Lebuhraya CSR dan Lebuh Raya Pan Borneo termasuk projek-projek skala kecil dan sederhana seperti projek pembinaan jambatan, masjid dan jalan yang telah dihentikan oleh kerajaan PH dahulu.

“Proses untuk menganugerahkan projek-projek berkenaan perlulah dipendekkan dan dipermudahkan. Dengan mempercepatkan projek-projek ini, lebih banyak pekerjaan baru boleh diwujudkan untuk mengganti pekerjaan sektor lain yang sudah dan tentu akan hilang.

“Dengan ini, kerajaan juga boleh mendapat manfaat dari kos harga bahan pembinaan lebih rendah ekoran harga komoditi yang lebih rendah,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.