Lapan suspek direman esok berkait rasuah daftar e-perolehan

37

16 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berhubung pendaftaran akaun baharu e-perolehan melibatkan sebuah kementerian.

Menurut sumber, selain permohonan akaun e-perolehan, individu berusia antara 30 hingga 47 tahun itu juga ditahan kerana disyaki terlibat dalam urusan permohonan status Bumiputera syarikat di sekitar Lembah Klang.

Kesemua individu ditahan SPRM di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam operasi petang tadi.

Sumber SPRM berkata bagi mempercepatkan proses pendaftaran akaun e-perolehan baharu dan mendapatkan status syarikat bumiputera, sindiket itu mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM3,500 untuk setiap permohonan.

“Malah status bumiputera akan diluluskan dalam tempoh 24 jam dan dibuat tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Daripada lapan yang ditahan itu, lima individu merupakan kakitangan di Unit Pendaftaran Syarikat kementerian itu manakala yang lain adalah orang awam,” kata sumber kepada BERNAMA.

Sumber juga berkata risikan yang dijalankan selama enam bulan mendedahkan bahawa kegiatan sindiket itu telah bermula sejak 2017 dan ratusan ribu ringgit wang rasuah dikutip sindiket daripada syarikat di sekitar Lembah Klang.

“Kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan.

 “Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.