Kelab malam belum dibenar, 28 ditahan ingkar

50

15 JULAI: Kelab malam dan pub antara aktiviti yang belum dibenarkan beroperasi dari mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehinggalah memasuki PKP Pemulihan (PKPP) ketika ini.

Namun, ironinya semalam sahaja 28 individu ditahan kerana terlibat kesalahan berkaitan aktiviti kelab malam dan pub yang jelas satu pengikaran kepada PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, 40 lagi diambil tindakan kerana aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 14 individu telah direman manakala 54 lagi dikenakan kompaun.

“Kerajaan berharap rakyat dapat menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan apa-apa tindakan yang melanggar SOP.

“Sila lapor kepada pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam sidang akhbar itu, Ismail Sabri mengingatkan bagaimana banyak negara yang telah berjaya mengekang penularan COVID-19 kini terpaksa mengenakan balik kawalan pergerakan ke atas rakyat mereka.

Katanya, keadaan sama tidak mustahil boleh berlaku negara ini jika prosedur operasi standard kesihatan (SOP) diabaikan yang mana ketika ini sudah pun dapat dilihat ada yang mula lupa sedangkan PKP masih lagi dilaksanakan.

“Untuk pastikan terus bebas dan lebih bebas, patuhi SOP dan teruskan amalan kendiri,” tegasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri menegur mengenai kegagalan pematuhan SOP di premis makanan apabila mengabaikan SOP berhubung penyajian secara buffet.

Ujarnya, pengusaha premis makanan perlu memastikan adanya pramusaji ataupun sarung tangan pakai buang (disposable gloves) bagi kegunaan pelanggan, sekiranya menghidang makanan secara buffet.

Beliau juga pada masa sama menggesa pihak pengusaha perniagaan untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan usaha Kerajaan membendung jangkitan COVID-19. -M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.