Tiada lagi kapal China ceroboh perairan negara

101

15 JULAI: Kerajaan mengesahkan tiada lagi kapal pengawal pantai dan tentera laut China yang dikesan menceroboh perairan Malaysia ketika ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkembangan itu adalah hasil hubungan dua hala yang berjaya ditambah baik di antara kedua-dua negara sepanjang tempoh 100 hari sejak beliau dilantik memimpin Wisma Putra.

“Satu-satu perkara yang saya terpaksa betulkan sejak saya memimpin Wisma Putra ini ialah membaik pulih hubungan dengan China, India, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu … jadi bila kita cakap pasal Laut China Selatan, sudah pasti hubungan dengan China adalah penting.

“Terbaharu, dalam 100 hari memimpin Wisma Putra, kapal-kapal China di perairan kita sekarang ini dah tak ada lagi dan cara bagaimana kita lakukannya? Ini di antara kami dan kepimpinan China kerana pendirian saya sangat jelas yang kita tidak akan bertolak ansur dalam soal kedaulatan kita,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas tentang Laporan Ketua Audit Negara yang antara lain mendedahkan kapal pengawal pantai China dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali dari 2016 hingga 2019.

Laporan tersebut turut menyatakan, kehadiran mereka dikenal pasti berhubung tuntutan di Laut China Selatan khususnya kawasan Beting Patinggi Ali.

Hishammuddin menambah, isu di Laut China Selatan bukan sahaja melibatkan kehadiran kapal dari China dan Amerika Syarikat (AS), malah membabitkan isu tuntutan sempadan perairan oleh negara-negara ASEAN.

“Jika kita selesaikan isu sempadan dengan China dan isu saling menunjukkan kekuatan di antara kuasa-kuasa besar, kita masih ada isu tuntutan bertindih oleh negara tetangga kita yang perlu diselesaikan.

“Namun, yang saya takutkan ialah insiden di laut yang boleh berakhir dengan peperangan. Kita perlu elak perkara ini, justeru tindakan mempamerkan kekuatan ketenteraan masing-masing tidak akan membantu menyelesaikan masalah dan kita perlukan semua negara ASEAN bersetuju tentang ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, hanya 2,000 orang dibenarkan menggunakan kemudahan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) setiap hari sebaik sahaja aktiviti rentas sempadan secara bersyarat Malaysia-Singapura dibenarkan mulai 10 Ogos ini.

Tambah beliau, bagi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) pula, seramai 400 orang dari setiap negara akan dibenarkan untuk menggunakan kemudahan ini dalam seminggu.

“Kemudahan PCA akan dihadkan kepada 2,000 orang saja sehari bagi kedua-dua negara untuk perjalanan rentas sempadan melalui Tambak Johor dan Link Kedua saja,” katanya.

Menurut beliau, terdapat dua lagi kategori membenarkan perjalanan rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan seramai kira-kira 200,000 rakyat Malaysia dan Singapura.

“Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan. Ini berkait soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi COVID-19 jelas masih belum reda.

“Paling utama, kelulusan kepada cadangan ini tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan COVID-19 harian terhadap pekerja-pekerja yang berulang alik,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.