Tajuddin hairan Guan Eng berlagak pejuang rakyat

259

15 JULAI: Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng dihantui kisah silam tentang kegagalannya semasa menjadi Menteri Kewangan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Beliau diingatkan oleh Ahli Parlimen BN Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai kesukaran yang dihadapi oleh golongan peniaga dan kontraktor ketika itu.

Tajuddin yang mencelah ketika Guan Eng membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berasa hairan dengan sikap bekas Menteri Kewangan itu yang kini seolah-olah berlagak seperti pejuang rakyat.

“Kita berasa hairan Yang Berhormat Bagan menunjukkan keprihatinan yang begitu hebat sekali, prihatin terhadap peniaga, rakyat dan sebagainya.

“Tapi saya dibagitahu, saya nak jawapan daripada Yang Berhormat, betul ke tidak, ramai peniaga-peniaga yang menghadapi masalah kesusahan termasuk masalah bank dan sebagainya, Yang Berhormat tak layan langsung.

“Mereka datang berjumpa Yang Berhormat, Yang Berhormat tak beri masa untuk mereka berjumpa, tak mahu melayan mereka,” dakwanya.

Beliau menyatakan peniaga-peniaga terbabit mengadu kepadanya tentang sikap Guan Eng itu.

Tajuddin menambah, kisah itu berbeza dengan sikap Guan Eng dalam sidang hari ini yang seolah-oleh ingin menunjukkan beliau kononnya pejuang rakyat.

Terdahulu, Guan Eng menyuarakan bahawa ramai peniaga yang masih belum menerima insentif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang bertujuan meringankan beban mereka akibat COVID-19.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu menafikan tuduhan tersebut dan meminta Tajuddin tidak menyalahgunakan peluang yang diberikan untuk mencelah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.