PN umpama lilin bakar diri menerangi rakyat – Noh

225

15 JULAI: Ahli-ahli Parlimen yang menyertai Perikatan Nasional (PN) telah mengorbankan kepentingan politik masing-masing bagi menyelamatkan negara dan rakyat ketika tercetus krisis yang disebabkan oleh Pakatan Harapan (PH) serta pandemik COVID-19.

Ahli Parlimen BN Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar meminta semua pihak berhenti melabelkan mereka sebagai pengkhianat.

“Pengorbanan kami di sini termasuk Pagoh (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan rakan-rakan kita ini.

“Mereka ini umpama sebatang lilin yang membakar diri mereka untuk menerangi rakyat.

“Bayangkan kalau keadaan politik kita kelam kabut dalam situasi dilanda COVID-19,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Noh menambah, pasti ada hikmah di sebalik penubuhan PN dan beliau sentiasa memberi sokongan demi menjaga rakyat dan negara.

Beliau turut menyifatkan 2020 telah bertukar menjadi ‘tahun kong kali kong’ yang kelam kabut gara-gara krisis politik yang dicetuskan setelah Ahli Parlimen BEBAS Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Sejak merdeka, tak pernah lagi setiap Ahli Parlimen dipanggil menghadap Agong untuk menentukan siapakah yang layak jadi Perdana Menteri.

“Yang menjadi masalah sebelah PH, ada kumpulan menamakan Langkawi, ada kumpulan mencalonkan Port Dickson,” katanya.

Noh menyatakan, tindakan yang diambil oleh Seri Paduka itu sememangnya bijak dalam menyelesaikan situasi politik negara yang kelam-kabut. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.