PKR Jempol lumpuh, seluruh pimpinan keluar parti

343

15 JULAI: Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jempol, Karip Mohd Salleh bersama 25 ahli jawatankuasa Cabang itu bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan PKR.

Menurut mereka, sama ada di peringkat Pusat mahu pun negeri, kepimpinan parti itu kini terbukti gagal dalam mendapat sokongan rakyat.

Selain Karip, turut mengisytiharkan keluar parti ialah 25 ahli jawatankuasa tertinggi serta lantikan cabang itu termasuk Timbalan Ketuanya, Halim A Aziz; Naib Ketua I, T.Murly; Timbalan Ketua Wanita, Norizan Musa; bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Jempol, Abdul Harris Zulkifli dan pemangku Ketua AMK Jempol, Nur Akmal Idzwan Wahid.

Tindakan mereka itu juga didakwa telah menyebabkan kepimpinan PKR Cabang Jempol lumpuh.

Menurut Karip, beliau turut menjangkakan terdapat 300 hingga 400 ahli PKR Jempol akan mengambil keputusan sama meninggalkan parti dalam masa terdekat.

Karip yang digantung keahliannya sebelum ini berkata, ini berikutan pimpinan PKR gagal menangani kemelut dalaman parti sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

“Pemecatan dan penggantungan anggota yang berterusan juga adalah langkah sumbang PKR dalam menarik minat rakyat untuk bersama,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PKR Jempol hari ini.

Sementara itu, Karip berkata, beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan parti menggantung keahliannya sejak April lalu.

Selain beliau, katanya, Timbalannya dan Naib Ketua I juga digantung keahlian pada Jun dan Mei lalu.

“Saya tidak akan membuat rayuan terhadap penggantungan ini kepada pihak jawatankuasa displin parti dan sebulat suara bersama AJK terlibat untuk keluar parti hari ini,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Karip berkata, pihaknya akan menyertai Penggerak Komuniti Negara Negeri Sembilan dan seterusnya memberikan sokongan padu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PKR Negeri Sembilan menyaksikan pergolakan dalam serius apabila beberapa pemimpin peringkat cabang telah bertindak keluar parti, antaranya Jelebu bulan lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.