Pembukaan sekolah lancar

65

15 JULAI: Kementerian Pendidikan merakamkan penghargaan kepada guru, murid, ibu bapa serta seluruh warga sekolah di atas keprihatinan dan kerjasama yang ditunjukkan dalam memastikan pembukaan semula sekolah berjalan lancar hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Jidin yang meninjau pembukaan semula sekolah melibatkan beberapa buah sekolah di sekitar negeri Kelantan hari ini berkata, murid-murid terlibat juga dilihat gembira apabila mendapat peluang kembali ke sekolah yang sebelum ini ditutup akibat penularan COVID-19.

“Hari ini kami meninjau sendiri pembukaan semula sekolah bagi anak-anak Tahun 5 dan 6 di sekolah rendah, serta murid Tingkatan 1 hingga 4 di sekolah menengah di sekitar negeri Kelantan.

“Saya berkesempatan berinteraksi dengan murid-murid. Rata-rata antara mereka menyatakan kegembiraan apabila dapat kembali semula ke sekolah.

“Sekali lagi saya ingin menzahirkan penghargaan kepada guru, murid, ibu bapa serta seluruh warga sekolah di atas keprihatinan dan kerjasama yang ditunjukkan dalam memastikan pembukaan sekolah berjalan lancar,” katanya hari ini.

Menerusi catatan di Facebook miliknya itu, Dr Radzi berkata, antara sekolah yang sempat ditinjau Sekolah kebangsaan (SK) Sri Suria 1, SMK Dato Mahmod Paduka Raja 1, SMK Tanah Merah 2, SK Batu Gajah, SMK Machang, SMK Hamzah dan SK Ketereh.

Sesi persekolahan murid Tahun 5, Tahun 6, Tingkatan 6 Semester 1, kelas peralihan serta tingkatan 1 hingga 4 dibuka bermula hari ini.

Bagi murid Tahun 1 hingga 4 pula sesi persekolahan akan bermula pada 22 Julai ini.

Sebelum itu, beliau menyertai ratusan jemaah menunaikan solat jenazah Allahyarham Rosli Abd. Aziz, guru di SK Batu Gajah yang meninggal dunia akibat kemalangan ketika melakukan persiapan pembukaan semula sekolah semalam di Masjid Besar Tanah Merah.

Dalam insiden kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, guru Matematik itu disahkan maut akibat parah di kepala setelah terjatuh.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.