Ingkar SOP PKPP, 52 lagi ditahan polis

53

15 JULAI: Jangkitan baharu COVID-19 yang hanya mencatatkan satu angka sejak kebelakangan ini bukan bermakna ‘lesen’ untuk masyarakat kembali kepada normal lama sehingga mengabaikan penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa.

Pematuhan itu bukan sahaja penting untuk mengelakkan peningkatan kes baharu, bahkan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berlangsung.

Ini seperti yang berlaku semalam apabila 16 orang ditahan polis kerana melakukan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial dan ada di antara mereka dikenakan kompaun serta reman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 36 lagi individu pula ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melanggar SOP sepanjang Operasi Pematuhan semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 11 individu telah direman dan seorang individu dijamin manakala 40 individu dikenakan kompaun.

“Semalam sahaja sebanyak 64,414 pemeriksaan dilakukan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan PKPP melibatkan sebanyak 2,877 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 13,262 anggota.

“Mereka telah membuat pemantauan di 4,005 pasar raya, 5,736 restoran serta 1,512 penjaja, 1,117 kilang, 3,862 bank dan 750 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,104 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 128 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ismail Sabri, pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,362 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,358 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala empat premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya
sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri memalumkan seramai 477 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari China, Indonesia, Qatar, India, Thailand dan Jepun.

“Kesemua 477 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di
kediaman mereka (home quarantine).

“PDRM telah membuat 1,455 pemantauan pematuhan SOP home quarantine dan mendapati
kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.,” ujarnya. – M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.