Ekspatriat baru masuk ke Malaysia antara lima kes COVID-19

49

15 JULAI: Seorang individu warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini atas urusan kerja antara lima kes baharu jangkitan COVID-19 yang dilaporkan setakat tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, empat lagi kes melibatkan jangkitan dalam negara dengan tiga daripadanya dilaporkan di Sarawak dan satu lagi kes di Selangor.

Katanya, salah satu kes di Sarawak itu melibatkan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan manakala satu kes lagi adalah kontak rapat kes positif COVID-19 sebelum ini dan kes ketiga ialah seorang bukan rakyat Malaysia yang bergejala.

“Kes di Selangor pula melibatkan saringan pra pembedahan di Hospital Sungai Buloh.

“Setakat tengah hari ini juga tiada kes kematian baharu dilaporkan menjadi 122 kes keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham mahu pengurusan sekolah memastikan terdapat penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter di dalam kelas mahupun di luar kelas selain menjalankan pemeriksaan suhu dan gejala bagi semua pelajar.

Katanya, pelajar serta guru sekolah sangat digalakkan memakai pelitup hidung dan mulut semasa sesi persekolahan dan jika dikesan ada murid yang tidak sihat, mereka perlu dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan.

“Penularan jangkitan COVID-19 dalam sekolah harus dicegah sama sekali kerana ianya boleh mengakibatkan penularan yang meluas di kalangan rakan sebaya, guru dan seterusnya jangkitan kepada keluarga di rumah dan kemudiannya ke komuniti.

“Oleh itu, kepatuhan kepada segala nasihat dan saranan daripada KKM adalah penting bagi tujuan melindungi orang ramai daripada dijangkiti COVID-19,” jelasnya.

Pada masa sama, Noor Hisham turut mengingatkan kepentingan mematuhi panduan pencegahan COVID-19 di pusat penempatan sementara (PPS) oleh semua mangsa banjir dan petugas agensi terlibat.

Katanya, hujan lebat di beberapa kawasan telah menyaksikan 18 PPS dibuka di beberapa negeri dan keadaan penghuni yang ramai di sesebuah pusat penempatan boleh membawa risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan mangsa dan petugas.

“KKM telah membangunkan panduan pencegahan dan pengurusan COVID-19 di PPS bermula daripada proses pemindahan mangsa ke pusat-pusat ini sehingga ke proses selepas tamat penempatan.

“Panduan ini boleh diguna pakai oleh semua pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan PPS semasa kejadian bencana,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.