Zuraida akui bekas MP PKR belum sertai Bersatu

215

14 JULAI: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mengesahkan beliau dan 10 bekas Ahli Parlimen PKR masih belum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti yang tular sebelum ini

Namun, Zuraida memaklumkan pihaknya yang masih ahli parlimen Bebas menggunakan platform parti Bersatu ketika perbahasan di Dewan Rakyat. 

“Secara teknikalnya di Dewan Rakyat meletakkan kami di dalam kelompok Bersatu namun kita belum masuk Bersatu kerana kita masih tengah memperhalusi dan Insyallah, kita akan bersama Bersatu. 

“Kaedahnya kita sedang bincangkan dan kita akan masuk. Cuma kini, kita masih menunggu pemilihan dan mesyuarat Agung Bersatu selesai,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini. 

Terdahulu, seramai 10 bekas Ahli Parlimen PKR yang diketuai Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan telah menyertai Bersatu. 

Selain Mohamed Azmin, turut dilaporkan berbuat demikian ialah Zuraida, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Dalam pada itu, Zuraida yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu, ini bukan waktu yang terbaik untuk untuk menubuhkan parti baharu dalam masa terdekat ini.

“Pada masa singkat ini adalah tidak praktikal kita menubuhkan parti baru kerana berkemungkinan  menghadapi Pilihanraya,” katanya. Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.