Tommy dahului inkues Adib punca rakyat marah PH

153

14 JULAI: Kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim merupakan salah satu faktor yang mencetuskan perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan Tommy mendakwa kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul telah mendahului keputusan inkues yang ditubuhkan kerajaan ketika itu.

“Bukan isunya kita nak salahkan sesiapa yang bertanggungjawab. Tidak, tapi isunya ialah kita mahu bahawa keputusan inkues itu perlu ditunggu dan perlu dihormati,” katanya ketika menyokong usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer berhubung isu kematian Muhammad Adib yang mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Sidang menjadi kecoh seketika apabila Rayer menyatakan komitmen Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan kematian Allahyarham Muhammad Adib dan nasib keluarganya dibela.

Ahmad Fadhli juga berharap agar pihak berkuasa memberi tumpuan terhadap kes kematian Muhammad Adib agar dapat diselesaikan segera dan keluarganya berpuas hati dengan usaha kerajaan.

“Ia merupakan penghargaan kita kepada mereka yang tergolong dalam petugas barisan hadapan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.