Saksi sumbang RM9 juta bina masjid dengan akad

896

14 JULAI: Saksi ke-78 kes membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu mahkamah bahawa sumbangan bernilai RM9 juta untuk membina dua buah masjid adalah ikhlas, berserta lafaz akad dan sebagai saham akhirat untuk dirinya.

Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah berkata, sumbangannya tidak perlu invois dan resit kerana beliau percaya ia memadai dengan akad.

“Kalau dah akad tak perlu resit dan invois. Saya percaya saham akhirat lebih bernilai untuk kita,” katanya.

Ahmad Zahid di luar mahkamah.

Beliau berkata sumbangannya untuk membina dua masjid, sebuah di Country Heights dan sebuah lagi di Melaka (Masjid Terapung Salmah Khamis) hanya diketahui olehnya dan Ahmad Zahid.

“Hanya saya dan Zahid yang tahu dan setiap kali beri sumbangan saya akan akad bahawa sumbangan itu untuk pembinaan masjid dan bukan untuk tujuan yang lain. Apabila saya lafaz akad, Zahid pun akan lafaz akad terima sumbangan itu untuk pembinaan masjid,” katanya.

Jimmy adalah antara empat orang saksi yang dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Beliau Jimmy memaklumkan kepada mahkamah bahawa sumbangannya yang diberikan secara beperingkat menerusi 15 keping cek dibayar kepada Tetuan Lewis & Co.

Jimmy berkata, beliau mempercayai Ahmad Zahid sepenuh hati kerana sumbangan itu dimasukkan ke akaun peguam dan bukan peribadi.

“Saya percaya cakap Zahid kerana mengenali personalitinya sejak dia bersama Pemuda UMNO.

“Saya tengok dia selalu buat kerja-kerja amal dan kebajikan. Personaliti dia memang ke arah fisabilillah, ke arah keagamaan. Bila saya lafaz akad saya betul percaya ia adalah untuk pembinaan masjid,” jelasnya.

Ditanya oleh pendakwa raya sama ada beliau pernah membuat sumbangan-sumbangan lain, Jimmy mengakui kerap berbuat demikian.

“Dari semasa ke semasa saya memang selalu beri sumbangan kepada masjid, tahfiz dan majiis korban. Saya banyak bergaul dengan orang masjid dan tahfiz. Setiap kali beri sumbangan, saya juga tak mahu nama dicatit sebagai penderma kerana saya menderma secara ikhlas,” ujarnya.

Jimmy, yang juga salah seorang ahli Lembaga Pengarah MYEg berkata selain menerima dividen dari syarikat itu, beliau juga memperolehi pendapatan daripada memperkenalkan majikan dengan pengambilan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ditanya sama ada pihak MYEg tahu mengenai kegiatannya mencari komisen dalam kegiatan PATI, Jimmy berkata ia adalah kerja sampingannya dan tidak ada kena mengenai dengan MYEg.

Ditanya mengapa setiap transaksi terdapat persamaan RM600,000, Jimmy mengatakan ia adalah bayaran berperingkat (progress payment) untuk pembinaan masjid.

“Saya lihat jumlah RM600,000 untuk progress payment sesuai untuk setiap peringkat. Lagipun ini memang komitmen saya untuk sumbang RM10 juta,” katanya.

Ditanya sama ada sumbangan daripada 15 keping cek itu adalah ikhlas, Jimmy berkata, “Ya, memang secara ikhlas.”

Ketika disoal balas oleh peguam bela, Hamidi Mohd Noh, sama ada nilai sahamnya sebagai pengarah dalam MYEg ketika itu adalah antara RM10 hingga RM11 juta, Jimmy bersetuju.

Jimmy bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa pemberian RM9 juta menerusi 15 keping cek itu adalah untuk sumbangan dan tiada niat lain.

Hamidi turut meminta Jimmy menjelaskan apa yang dimaksudkannya dengan saham akhirat.

“Sebagai orang Islam, kita duduk di akhirat lebih bernilai. Jadi buatlah amalan terbaik dan yang terbaik adalah sedekah. Apatah lagi membina masjid. Selagi masjid itu ada di situ, selagi itu kita dapat pahala,” katanya.

Jimmy turut ditanya mana lebih penting antara pahala dengan duit.

“Pahala lebih mustahak. Memang amalan saya setiap kali ke masjid saya mesti sedekah masuk ke tabung. Kalau takda duit, syiling pun saya masukkan,” katanya.

Jimmy turut diminta menjelaskan maksud akad dan sama ada ia memerlukan invois atau bukti.

“Daripada apa yang dipelajari, saya difahamkan akad berlaku antara dua orang, iaitu pemberi dan penerima. Ia tak perlu invois atau bukti,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau tahu sumbangan yang diberikan digunakan untuk membina masjid, Jimmy menjawab, “Saya penuh yakin apa yang saya bagi akan digunakan untuk buat masjid. Datuk Zahid selalu memaklumkan. Saya percaya dan yakin akan persahabatan dan hubungan antara saya dan Zahid.

Selain Jimmy, tiga lagi saksi memberi keterangan hari ini adalah bekas pegawai bank iaitu Mary Yap, Datuk Mat Noor Nawi dan Norzilah Mohammed. – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.