Pelbagai program bantu masyarakat luar bandar

87

14 JULAI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan meneruskan pelbagai program bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan pendidikan masyarakat luar bandar supaya lebih berdaya tahan.

Antara usaha dilakukan kementerian adalah dengan mengadakan program latihan, program peningkatan peluang kerjaya, program peningkatan pendapatan dan keusahawan membabitkan pelbagai agensi seperti Kemajuan Masyarakat Malaysia (KEMAS), FELCRA Berhad, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, kementerian juga akan memastikan semua projek dilaksanakan kementerian dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memberikan nilai untuk wang dan lebih bermanfaat kepada rakyat.

ABDUL LATIFF AHMAD

Berikutan itu, kementeriannya menerusi Majlis Tindakan Pembangunan Luar Bandar akan bekerjasama dengan kerajaan negeri yang terlibat bagi memastikan semua projek dilaksanakan dapat memberi nilai tambah kepada masyarakat luar bandar.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) kementerian mendapat peruntukan berjumlah RM5 bilion RMK-11 jadi kita akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dilaksanakan secara ‘cost effective’ dan mampu memberikan ‘value for money’ kepada rakyat di luar bandar,” katanya semasa sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Abdul Latif berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen PKR Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang ingin tahu apa yang akan dilakukan kementerian bagi memastikan pelaksanaan projek kerajaan dapat memberi nilai untuk wang rakyat.

Ditanya mengenai sama ada kementerian ada menyediakan peruntukan khusus bagi membaik pulih kediaman penduduk luar bandar yang uzur , beliau menjelaskan, tiada peruntukan khusus untuk baiki rumah namun setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan antara RM40,000 hingga RM60,000 untuk membina rumah keluarga miskin.

“Untuk membaiki penduduk boleh mohon peruntukan bawah Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diselaraskan kementerian ini,” ujarnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.